Surah Al-Ikhlas
SurahAl-Ikhlaṣ (الإخلاص)
bererti Keikhlasan atau ‘Yang Ikhlas’ adalah surah at-Tauḥīd (التوحيد) (Monoteisme) yang
merupakan Penyataan Ringkas Tauhid, Perisytiharan Kesempurnaan Allah SWT serta
Ketulusan Agama. Surah Ikhlas meringkaskan dalam empat ayat tentang ketuhanan
dan keesaan Allah SWT. .
Surah
Al-Ikhlaṣ terdiri daripada 4
ayat adalah surah ke-112 dalam Al-Quran. Al-Ikhlas bererti
‘Kesucian’ atau ‘Penulenan’ yang bermaksud untuk kekal suci
dan setia atau keadaan membersihkan jiwa seseorang dari kepercayaan
bukan-Islam, seperti paganisme,animisme
dan kemusyrikan. Ini adalah satu-satunya surah dalam Al-Quran yang
namanya tidak terdapat atau tidak mempunyai hubungan linguistik terhadap surah
itu sendiri. .
Ia juga dikenali sebagai Surah Pelindung. Surah ini adalah
sebuah surah Makkiyah yang mengesahkan mengenai Bilal yang ketika diseksa
oleh tuannya yang kejam, dia berulang kali mengatakan “Ahad! Ahad!” (Tunggal,
merujuk kepada Allah SWT).
Sebab Diturunkan
Terdapat di dalam beberapa riwayat yang dibawakan oleh ahli
tafsir bahawa asal mula surah ini diturunkan adalah kerana pernah orang
musyrikin meminta kepada Rasulullah SAW: صف لنا ربك - ‘Shif lanaa
rabbaka’ (Cuba
jelaskan kepada kami apa macamnya Tuhanmu itu, emaskah dia atau
tembaga atau loyangkah?).
Menurut hadis yang diriwayatkan oleh Termidzi daripada Ubay
bin Ka’ab, memang ada orang musyrikin meminta kepada Nabi SAW supaya
dihuraikannya nasab (keturunan atau sejarah) Tuhannya itu. Maka datanglah
surah yang tegas ini tentang Tuhan.
Abu Su’ud berkata dalam tafsirnya: “Diulangi nama Allah
sampai dua kali (ayat 1 dan ayat 2) dengan kejelasan bahawa Dia adalah
Esa, Tunggal, Dia adalah pergantungan segala makhluk, supaya jelaslah
bahawa yang tidak mempunyai kedua sifat pokok itu bukanlah Tuhan.
Di ayat pertama ditegaskan KeesaanNya, untuk
menjelaskanbersihNya Allah daripada berbilang dan bersusun, dan dengan
menjelaskan bahawa Dialah pergantungan segala makhluk, jelaslah bahawa padaNya
terkumpul segala sifatKesempurnaan Dia tempat bergantung, tempat
berlindung, bukan Dia yang mencari perlindungan kepada yang lain, Dia tetap ada
dan kekal dalam kesempurnaanNya, tidak pernah berkurang.
Dengan penegasan ‘Tidak beranak’, ditolaklah
kepercayaan setengah manusia bahawa malaikat itu adalah anak Allah atau Isa
Al-Masih adalah anak Allah. Tegasnya daripada Allah itu tidak ada timbul apa
yang dinamai anak, kerana tidak ada sesuatu pun yang mendekati jenis Allah itu,
untuk jadi jodoh dan ‘teman hidupnya’, yang daripada pergaulan berdua timbullah
anak.”
Ayat dan Terjemahannya:
بِسْمِ اللَّـهِ الرَّحْمَـٰنِ الرَّحِيمِ
Bis-mil-lah hir-rah-maa nir-ra-him
Dengan nama Allah yang Maha Pengasih, Lagi Maha Penyayang.
قُلْ هُوَ اللَّـهُ أَحَدٌ
Qul hu-wal-la-hu a-had
1. Katakanlah (wahai Muhammad): (Tuhanku) ialah Allah
Yang Maha Esa.
اللَّـهُ الصَّمَدُ
Al-lah hus-sho-mad
2. Allah Yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk
memohon sebarang hajat.
لَمْ يَلِدْ وَلَمْ يُولَدْ
Lam ya-lid wa-lam yuu-lad
3. Dia tiada beranak dan tidak juga diperanakkan.
وَلَمْ يَكُن لَّهُ كُفُوًا أَحَدٌ
Wa-lam ya-kul la-hu ku-fu-wan a-had
4. Dan tidak ada sesiapapun yang serupa denganNya.
Fadhilat Surah Al-Ikhlas
Surah
Al-Ikhlas adalah di antara surah yang banyak fadhilatnya. Beberapa
keutamaan dan khasiat surah al-Ikhlas antara lain :
1. Mengusir Iblis Dan
Syaitan
Bacalah ayat ini sebelum anda memulakan apa-apa saja kerja
kerana dengan bacaan ini akan keluarlah iblis dan syaitan yang berada di dalam
tubuh kita dan juga di sekeliling kita, mereka akan berlari keluar umpama
cacing kepanasan.
Sebelum anda masuk rumah, bacalah surah Al-Ikhlas (sebanyak 3 kali. Masuklah
rumah dengan kaki kanan dan dengan membaca ‘Bismillah’. Berilah salam kepada anggota rumah dan
sekiranya tiada orang di rumah berilah salam kerana malaikat rumah akan
menyahut.
Membaca ketika memasuki rumah juga dapat menyingkirkan
penghuni rumah dan jirannya daripada kefakiran dan kemiskinan.
* Nota – Berkenaan memberi salam kepada
malaikat. Amalkanlah bersolat kerana salam pertama (wajib) yang diucapkan
pada akhir solat akan membantu kita menjawab persoalan kubur. Apabila malaikat
memberi salam, seorang yang jarang bersolat akan sukar menjawab salam tersebut.
Tetapi bagi mereka yang kerap bersolat, amalan daripada salam yang diucap di
akhir solat akan menolongnya menjawab salam malaikat itu.
2. Sebahagian Al-Quran
Dari Imam Bukhari, diriwayatkan daripada Abu Sa’id
al-Khudri; seseorang mendengar bacaan surah al-Ikhlas berulang-ulang di masjid.
Pada keesokan paginya dia datang kepada Rasulullah SAW dan sampaikan perkara
itu kepadanya kerana dia menyangka bacaan itu tidak lengkap. Rasullullah SAW
bersabda, “Demi tangan yang memegang nyawaku, surah itu seperti sepertiga
al Quran!”
Abu Hurairah r.a. Sabda Rasullullah SAW; “Sesungguhnya
ganjaran Surah Al-Ikhlas satu pertiga Al Quranul Qariim.” (Di riwayatkan
oleh Imam Bukhari)
Sabda Rasulullah SAW, “Sesiapa yang membaca surah
Al-Ikhlas, maka seakan-akan dia telah membaca satu pertiga Al-Qur’an” (Hadith
Riwayat Ahmad dan An Nasai).
Dari Abu Hurairah r.a., Rasulullah SAW bersabda : “Sesiapa
membaca ‘Qulhuallah (sehingga akhir ayat), maka seolah-olah dia telah membaca
sepertiga Al-Qur’an”.
3. Khatam Al-Quran
Orang yang membaca surah
Al-Ikhlas satu kali sama ganjarannya dengan memperoleh ganjaran
membaca sepertiga Al-Quran. Jadi jika membaca surat
Al-Ikhlas tiga kali mendapat ganjaran seperti membaca satu Al-Quran.
“Sesiapa yang membaca surah Al-Ikhlas tiga kali, maka
seakan-akan dia telah membaca Al-Quran seluruhnya.” (Hadith Riwayat
Al’ugaili dan Rajaa Al Ghanawy)
Rasulullah SAW pernah bertanya sebuah teka-teki kepada
umatnya: “Siapakah antara kamu yang dapat khatam Qur’an dalam jangka masa
dua-tiga minit?” Tiada seorang dari sahabatnya yang menjawab. Malah
Saiyidina Ummar telah mengatakan bahawa ianya mustahil untuk mengatam Qur’an
dalam begitu cepat.
Kemudiannya Saiyyidina Ali mengangkat tangannya.
Saiyidina Ummar bersuara kepada Saiyidina Ali bahawa
Saiyidina Ali (yang sedang kecil pada waktu itu) tidak tahu apa yang
dikatakannya itu. Lantas Saiyidina Ali membaca surah Al-Ikhlas tiga kali.
Rasulullah SAW menjawab dengan mengatakan bahawa Saiyidina
Ali betul. Membaca surah
Al-Ikhlas sekali ganjarannya sama dengan membaca 10 jus kitab
Al-Quran. Lalu dengan membaca surah Al-Ikhlas sebanyak tiga kali khatamlah
Quran kerana ianya sama dengan membaca 30 jus Al-Quran.
Sabda Rasullullah SAW: “Sesiapa membaca ‘Qul
huwAllahu Ahad’ sebanyak 3 kali, dikurniakannya pahala seperti pahala orang
yang membaca Al-Quran sekali khatam.”
4. Pahala membacanya
Dari Ubay Ibn Ka’ab – Rasulullah SAW bersabda : “Sesiapa
membaca Surah Al-Ikhlas satu kali, maka Allah SWT menganugerahkan kepadanya
pahala seorang yang beriman kepada Allah SWT, MalaikatNya, Kitab-KitabNya dan
Rasul-RasulNya, dan Dia menganugerahkan kepadanya dari pahala seperti pahala
syuhada.”
Daripada Ibnu Abbas r.a., Rasulullah SAW telah bersabda: “Ketika
saya (Rasulullah SAW) israk ke langit, maka saya telah melihat Arasy di atas
360,000 sendi dan jarak jauh antara satu sendi ke satu sendi ialah 300,000
tahun perjalanan.
Pada tiap-tiap sendi itu terdapat padang
sahara sebanyak 12,000 dan luasnya setiap satu padang
Sahara itu seluas dari timur hingga ke
barat (masyrik ke maghrib). Pada setiap padang
sahara itu terdapat 80,000 malaikat yang mana kesemuanya membaca surah
Al-Ikhlas. Setelah mereka selesai membaca surah tersebut maka berkata mereka:
Wahai Tuhan kami, sesungguhnya pahala dari bacaan kami ini
kami berikan kepada orang yang membaca surah Al-Ikhlas baik ianya lelaki
mahupun perempuan.”
Sambung Rasulullah SAW lagi : “Demi Allah yang jiwaku di tanganNya;
Sesungguhnya ‘Qul Huwallahu Ahad’ itu tertulis di sayap malaikan
Jibrail A.S., ‘Allahus Somad’ itu tertulis di sayap Mikail
A.S., ‘Lam Yalid Walam Yuulad’ tertulis pada sayap Malaikat Izrail
A.S. ‘Walam Yakullahu Kufwan Ahad’ tertulis pada sayap Israfil A.S.”
5. Penebus Diri
Diriwayatkan oleh Iman Bukhari, sabda Nabi Muhammad SAW:
“Sesiapa membaca ‘Qul Huwa’llahu Ahad’ 100,000 kali, maka sesungguhnya
ia telah menebus dirinya dari Allah, maka menyeru yang menyeru dari pihak
Allah di langit dan di bumi. Kusaksikan bahawa sifulan itu telah menjadi
pemendekaan Allah sesungguhnya ia adalah pemerdekaan dari sisi Allah,
Sesungguhnya ia adalah pemerdekaan dari neraka’. Inilah yang dinamakan membaca
Qulhua’llah ahad satu khatam iaitu 100,000 kali dengan diwiridkan seberapa ribu
kesanggupan kita sehari.”
6. Diampuni Dosanya Oleh Allah SWT
Orang yang membaca surat
al-ikhlas 50 kali maka memperoleh ganjaran dengan diampuni dosanya selama 50
tahun.
Rasullullah SAW bersabda : “Sesiapa membaca surah
Al-Ikhlas sebanyak seratus kali, maka Allah mengampuni 50 perbuatan dosa,
selama ia menjauhi empat perkara; Penumpahan darah (melukai atau membunuh),
perampasan harta, Perbuatan zina dan Minuman keras.”
“Sesiapa membiasakan setiap hari membaca surah Al-Ikhlas 200
kali, maka dicatat memperoleh seribu lima
ratus kebaikan dan diampuni dosanya 50 tahun.”
7. Selamat Di Alam Barzakh
Sabda Rasulullah SAW: “Sesiapa membaca surah Al-Ikhlas
sewaktu sakit sehingga dia meninggal dunia, maka dia tidak akan membusuk di
dalam kuburnya, akan selamat dia dari kesempitan kuburnya dan para malaikat
akan membawanya dengan sayap mereka melintasi titian siratul mustaqim lalu
menuju ke syurga.” Demikian diterangkan dalam Tadzikaratul Qurthuby).
Sabda Rasullullah SAW: “Sesiapa membaca ‘Qul
huwAllahu Ahad’ pada perkuburaan sebanyak 11 kali, kemudian dihadiahkan pahalanya
kepada ahli kubur, nescahaya diberikan kepada si pembacanya pahala sebanyak
bilangan ahli kubur di situ.”
8. Balasan Syurga
Dari Al-Muwatta’, diriwayatkan oleh Abu Hurairah; “Saya
sedang berjalan denganRasulullah SAW lalu Baginda mendengar seseorang
membaca surah al-Ikhlas. Baginda SAW berkata,“Wajiblah.” Saya bertanya
kepadanya, “Apa ya Rasulullah?” Baginda SAW menjawab, “Syurga” (Wajiblah
syurga bagi si pembaca itu).”
Rasululllah SAW bersabda: “Sesiapa membaca ‘Qul
HuwAllahu Ahad’ (Surah Al-Ikhlas)sebanyak 11 kali, dikurniakannya satu
mahligai indah di syurga.” (HR.Ahmad dan Muadz bin Anas).
Sabda Rasullullah SAW: “Sesiapa membaca ‘Qul
HuwAllahu Ahad’ sebanyak 51 kali setiap hari, nescaya dibangunkan dari kuburnya
terus ke syurga.”
Rasululllah SAW bersabda: “Sesiapa yang membaca
10 kali surah Al-Ikhlas siang dan malam; Maka Allah memberinya sebuah istana
dalam syurga.” (HR: Imam Ahmad & Imam Adarimi.)
Sebuah kisah yang terjadi di zaman lampau bahawa seorang
lelaki meninggal dunia. Alangkah sedihnya perasaan kedua ibu bapanya. Maka pada
malam setelah anak itu dikebumikan, ayahnya bermimpi melihat anaknya diseksa di
dalam neraka Jahannam. Malam ke2 si ayah bermimpi melihat anaknya sedang
bersukaria di dalam syurga.
Lalu si ayah bertanya dalam mimpi itu kepada anaknya: “Semalam
aku melihat engkau di dalam neraka, mengapa malam ini engkau berada di dalam
syurga pula?”
Jawab si anak: “Hari ini ada orang yang lalu dekat
kuburku dan ia hadiahkan surah Al-Ikhlas 3x dan pahalanya dihadiahkan kepadaku.
Itulah sebabnya ayah lihat saya berada di dalam syurga sekarang.”
Subhanallah, hanya sekadar surah yang begini pendek, dapat
memberikan kegembiraan kepada si mati tadi. Maka eloklah kita sama2 amalkan
supaya kita juga dipilih oleh Allah dalam apa jua perkara yang kita lakukan.
Diriwayatkan pula dari Ali bin Abi Talib, katanya,
Rasululllah SAW bersabda: “Sesiapa yang membaca surah al-Ikhlas 10 kali
selepas solat Subuh, maka ia tidak akan tergelincir sekalipun syaitan
memperdayanya dengan sungguh-sungguh.”
9. Dipelihara Keselamatan
Rasululllah SAW bersabda: “Sesiapa yang membaca
surah Al-Ikhlas sebelas kali setiap selesai solat Subuh maka dirinya akan
dijaga dari perbuatan dosa selama sehari tersebut.”
Membaca surah Al-Ikhlas dan ‘Al- Mu’awwidzatain’ sebanyak 3 kali pada waktu Subuh
dan Asar, InsyaAllah maka kita akan selamat dari marabahaya sehingga tiba Subuh
dan Asar berikutnya.
Sabda Rasulullah SAW: “Sesiapa membaca surah Fatihah,
Al-Ikhlas, Al-Falaq, dan An-Nas setiap satu sebanyak 7 kali selepas solat
Jumaat, nescaya terpelihara dari perkara keji dan segala bala hinggalah ke
Jumaat yang berikutnya.”
Khasiat Surah Al-Ikhlas
Hadis-hadis di atas menunjukkan betapa agungnya Surah
Al-Ikhlas, kerana di dalam Surah Al-Ikhlas ini sepenuhnya menegaskan ‘Kemurnian’
atas ‘Keesaan’ Allah SWT. Adapun khasiat-khasiat yang terkandung di
dalamnya banyak sekali, di antaranya:
1. Tercapai Setiap Hajat
Bacalah Surah Al-Ikhlaṣ
1,000 kali selepas solat Subuh dan Maghrib, berdoalah minta apa yang dihajati,
Allah akan mengabulkan semua yang dimaksudkan.
2. Penawar Penyakit
Apabila kita membaca Surah Al-Ikhlas 3 X selepas setiap
solat fardu, kita mengubati diri kita sendiri. Daripada Abu Hurairah;
Rasululllah SAW bersabda: “Surah Al Ikhlas adalah penawar segala
penyakit (Rohani / Jasmani).” (HR: Ibnu Majah r.a.)
3. Menghindari Kesukaran
a. Jika dibaca 3 surah ini – Al-Ikhlas, Al-Falaq dan
An-Nas pagi dan petang, nescaya tidak mengalami apa-apa kesusahan.
b. Bacalah Surah Al-Ikhlas 3 X sebelum terbit matahari
dan 3 X selepas terbenam matahari. Allah selamatkan dari segala kejahatan.
4. Menundukkan Orang Zalim
Bacalah Surah Al-Ikhlaṣ
1,000 kali selepas solat fardhu, kemudian bacalah doa berikut;
“Sesungguhnya daku menguasakan roh surah ini, panas dan
sejuk, kepada roh…. (sebutlah nama orang berkenaan) yang zalim itu.”
InsyaAllah berhasil.
5. Dijauhkan Dari Ketamakan Orang Lain
a. Bacalah lafaz ‘YA SHAMAD’ 133 kali setiap hari
secara. InsyaAllah, akan selamatlah kita dari maksud jahat orang-orang yang
rakus lagi aniaya.
b. Bacalah lafal ‘YA SHAMAD’ 40 kali setiap
hari. InsyaAllah selama hayat masih dikandung badan kita selalu selamat dari
maksud jahat orang-orang yang rakus.
6. Mengurangkan Rasa Lapar dan Dahaga
Bagi menghindari perasaan lapar dan haus, terutama orang
yang dalam bermusafir atau ditempat yang jauh dari keramaian dan sukar dapat
air atau makanan, maka bacalah Surah Al-Ikhlas dan dikuti lafaz ‘YA
SHAMAD’ sebanyak-sebanyaknya. InsyaAllah rasa payah, letih, dahaga dan lapar
akan sirna dengan sendirinya, sehingga badan kuat untuk meneruskan tujuan.
7. Menghindarkan Dari Segala Bala Bencana.
Baca Surah Al-Ikhlas ini 1,000 kali pada waktu antara solat
Maghrib dan Isyak. Berkat dari bacaan ini, InsyaAllah semua bala bencana dan
mara bahaya akan terhindar.
8. Beroleh Kebaikan Dunia dan Akhirat
Bacalah Surah Al-Ikhlas selepas selesai solat fardhu sebagai
amalan harian. InsyaAllah berkat surah Al-Ikhlas yang kita baca itu, kita akan
mendapatkan kebaikan di dunia dan akhirat.
9. Terhindar Dari Fitnah Dan Siksa Kubur.
Bacalah Surah Al-Ikhlas pada orang yang sedang sakit. Seandainya orang sakit
itu meninggal pada hari itu juga, maka InsyaAllah dia akan diselamatkan dari
segala fitnah kubur.
10. Pelbagai Guna
Dawamkan 100 kali setiap hari sehabis solat Maghrib tanpa
batas waktu… InsyaAllah banyak manfaatnya, antaranya adalah :
- sebagai benteng/pagar diri
- sebagai suplemen/vitamin lahir/batin (sehat jiwa raga jauh dari penyakit
apapun)
- anti sihir/santau
- mahabbah
- murah rezeki
- perubatan
- membuka hijab
- perlindungan dari zina
- bersih dan sucikan hati kita.
Kita telah lihat betapa besarnya fadhilat dan kelebihan
orang yang membaca Surah
Al-Ikhlas ini. Khasiat yang telah disebut di atas cukup berguna untuk
bekalan hidup, baik untuk suatu hajat atau untuk perisai badan agar sihat wal
afiat dan terhindar dari sebarang gangguan. Hadiah yang begitu banyak dan pahala
yang besar diberikan Allah SWT kepada mereka yang membiasakan membaca surah
Al-Ikhlas secara istiqamah.
Namun begitu, kita tidak seharusnya hanya memikirkan
ganjaran tersebut kerana ia merupakan kehendak Allah SWT bagi sesiapa sahaja
yang dikehendakiNya. Dengan membaca Surah Al-Ikhlas adalah merupakan kecintaan
kita kepada Al Quran dan sunnah Rasulullah SAW. Maka marilah kita mempraktik
dan memperbanyakkan membaca surah ini secara konsisten.
والله أعلم بالصواب
Wallahu A’lam Bish Shawab
(Hanya Allah Maha Mengetahui apa yang benar)